Produk minuman diragui, pengguna diminta salur aduan
- Nadia Hamid
- Nov 8, 2016
- 1 min read
nnadia@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang mempunyai aduan berkaitan penjualan dan pengiklanan air minuman Kangen atau produk diragui akuannya, diminta melaporkannya kepada Jabatan Kesihatan negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata aduan juga boleh disalurkan menerusi laman web http://moh.spab.gov.my atau akaun rasmi Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di www.facebook.com/bkkmhq.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan memandang serius pengiklanan makanan atau minuman yang mengelirukan orang ramai dengan pelbagai dakwaan, khususnya berupaya menyembuhkan penyakit.
"Pengedar perlu mematuhi peraturan 360B, Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983 yang memuktamadkan air minuman berbungkus yang dijual perlu dilesenkan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Kegagalan mematuhi peraturan 360B adalah satu kesalahan. Jika sabit kesalahan, pengedar boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun manakala minuman berbungkus tidak berlesen dijual akan dirampas.
"Seksyen 17 Akta Makanan 1983 menetapkan iklan makanan tidak boleh mempunyai akuan atau dakwaan kesihatan. Pesalah boleh dikenakan penjara selama tidak lebih tiga tahun atau denda atau kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, KKM memberi amaran akan mengambil tindakan segera terhadap pengedar air minuman alkali, Kangen Water, yang dikesan gagal mematuhi Akta Makanan 1983 dan air minuman berbungkus gagal mematuhi Jadual Ke-25 Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dicadangkan untuk makanan manusia.
Ia susulan rungutan pengguna mempersoalkan langkah Kementerian Kesihatan kerana didakwa meluluskan sumber air Kangen Water sebagai penyembuh pelbagai penyakit individu dewasa termasuk kencing manis, darah tinggi dan anemia.
Dr Noor Hisham berkata, penelitian menunjukkan penjualan dan pengiklanan air Kangen tidak mematuhi peruntukan undang-undang kementerian.
"Kementerian akan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada terhadap penjualan dan pengiklanan air Kangen yang didakwa mempunyai pelbagai akuan kesihatan," katanya.
Sumber:Berita Harian
Comments