Air Kangen: Pengedar dilarang keluar pelbagai dakwaan
- Wartawan Sinar Harian
- Nov 8, 2016
- 1 min read

SHAH ALAM - Syarikat pengeluar air Kangen, Enagic Malaysia Sdn Bhd tidak pernah meminta pengedar air jenama tersebut menjual dan mendakwa minuman itu boleh menyembuhkan pelbagai penyakit.
Pengurus Negara Enagic Malaysia, Nick Nakao berkata, pihaknya telah melarang semua pengedar daripada menjual dan membuat pelbagai akuan kesihatan mengenai air tersebut.
“Ia telah dinyatakan dengan jelas dalam perjanjian dengan pengedar kami. Enagic Malaysia telah bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk membanteras perbuatan ini dengan menghantar surat amaran kepada mereka yang melakukannya dan surat itu turut dimajukan kepada pegawai kementerian sejak setahun lalu,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian, semalam.
Dalam pada itu, Enagic Malaysia turut menyambut baik langkah kerajaan untuk mengenakan tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan tersebut.
Kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan akan mengambil tindakan terhadap penjualan dan pengiklanan air Kangen yang didakwa mempunyai pelbagai akuan kesihatan kerana didapati tidak mematuhi peruntukan undang-undang.
Tambahnya, kegagalan mematuhi peraturan tersebut adalah satu kesalahan dan jika disabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM5,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun, serta air minuman berbungkus tidak berlesen yang dijual boleh rampas.
Sumber:Sinar Harian
Comments